Monday, September 28, 2009

Galeri

DOA TIDAK DIMAKBULKAN OLEH ALLAH

                a. Doa orang yang zalim
                b. Doa orang yang sentiasa melakukan dosa
                c. Doa orang yang memutuskan tali persaudaraan
                d. Doa orang yang dilumuri dengan maksiat
                e. Doa tanpa sebab yang dilakukan sambil lewa

Sunday, September 27, 2009

SABAR


    • Sifat sabar itu dipuji pada syara‘ kerana seseorang yang bersifat sabar menunjukkan ia beriman dengan sempurna kepada Allah, dan menunjukkan ia taat dan menjunjung segala perintah agama.

  • Orang yang beriman kepada Allah mengetahui bahawa segala perkara yang berlaku ke atas drinya adalah kehendak Allah yang tidak dapat dielak lagi. Begitulah juga orang yang taat, tidak akan merasa susah dalam mengerjakan segala perintah Allah dan meninggalkan laranganNya.
  • Iaitu menahan diri daripada keluh kesah pada sesuatu yang tidak disukai.
  • Sifat sabar perlu ketika menghadapi tiga perkara berikut:
1. Menahan diri daripada keluh kesah dan menahan diri daripada mengadu kepada yang lain daripada Allah subhanahu wata‘ala ketika berlaku sesuatu bala atau bencana.
2. Menahan diri dalam mengerjakan segala perintah Allah.
3. Menahan diri dalam meninggalkan segala larangan Allah.

Sunday, September 6, 2009

Keruntuhan Akhlak Remaja Masa Kini


Akhir-akhir ini  terutamanya menjelang abad ke -21, masalah keruntuhan akhlak dan moral remaja Malaysia  terutamanya dari bangsa melayu semakin serius. Gejala seks bebas, punk, skinhead, blackmetal,  lari dari rumah, buang bayi, mengedar dan menagih dadah, alkohol, ponteng sekolah, mengugut, menubuhkan kumpulan haram dan banyak lagi begitu menghantui ibubapa pada masa ini. Itu belum ditambah dengan trend bertukar agama ataupun ‘murtad’.,. Kesemua yang disebutkan tadi hanyalah sebahagian dari permasalahan sosial di kalangan remaja kita. Ini adalah ciri-ciri remaja yang tidak merdeka.


Perlu diketahui moral dan akhlak sangat berbeza pengertiannya. Masalah keruntuhan pada remaja Melayu yang beragama Islam, ianya lebih kepada keruntuhan akhlak, bukannya moral. Perkataan Akhlak menurut  bahasa Arab iatiu  al-akhlak, yang merupakan kata jama' dari al-khuluq' yang bererti budi pekerti, tingkah laku dan tabiat (Mustafa Hj. Daud, 1996:4 ). Perkataan ini pula adalah pecahan dari perkataan 'al-khalaq' yang bererti ciptaan (Harun Din, 1985: 143) Menurut Al-Ghazali , "Akhlak ialah suatu sifat yang tertanam dalam jiwa yang daripadanya timbul perbuatan dengan mudah tanpa memerlukan pertimbangan fikiran (lebih dahulu)"  Moral  pula diertikan menurut bahasa -Latin-Kata dasarnya "mores"-kesusilaan, adab, sopan santun, tradisi dan sebagainya yang menentukan piawai atau norma kelompok.
Remaja adalah seorang manusia yang berusia antara 14-21 tahun. Pada usia tersebut mereka sangat naif terhadap apa-apa perkara , mereka selalu ingin mencuba semua yang ada di dunia ini tanpa memikirkan akibatnya di masa yang akan datang.
Masalah sosial memang hebat dibincangkan di mana-mana sahaja di dunia ini dan kini lebih hebat dibincangkan dari masa kesemasa di Malaysia sendiri. Bukan sahaja masalah ini terjadi di negara membangun tetapi di negara maju dan juga dunia ketiga. Remaja masa kini hidup penuh dengan cabaran demi kemajuan dan kemodenan sehingga mereka kini hidup dengan penuh kebebasan. Kebebasan remaja kini tiada terbatas lagi hingga berlaku pelbagai masalah sosial di kalangan mereka yang bergelar remaja.
Permasalahan sosial di kalangan remaja masa kini amat membimbangkan banyak pihak terutama sekali golongan ibu bapa dan golongan pendidik. Adakah keruntuhan akhlak remaja ini berlaku seiring dengan pembangunan negara dan kemajuan teknologi? Adakah akhlak remaja semakin jatuh dan bagaikan tidak dapat dibendung lagi?
Bila bercakap mengenai isu kerosakkan moral remaja,banyak pihak saling tunding menunding salah menyalah antara satu sama lain. Persoalannya sekarang,siapakah yang patut dipersalahkan secara total. Ramai yang menunding jari kepada ibubapa bila isu ini dibincangkan. Tak ramai juga yang mempersalahkan golongan pendidik iaitu guru dalam hal ini.
Negara kita Malaysia sudah lebih 50 tahun merdeka daripada penjajah namun sehingga kini kita belum benar-benar merdeka dengan erti kata lain kita masih dijajah dengan unsur-unsur halus sejak dari dulu tanpa kita sedari telah merosakkan anak muda bangsa kita sendiri. Sejak merdeka lagi golongan pemerintah telah mentadbir negara dengan baik, memacu perubahan demi perubahan kearah kemajuan. Namun mungkin golongan pemerintah terlupa atau terlepas pandang iaitu soal pembelajaran agama Islam. Islam adalah agama rasmi negara kita namun kita dapat lihat sendiri bagaimana agama ulung itu diajar di sekolah? Tidak sampai suku pun ianya menepati kehendak sebenar Islam itu sendiri. Bila ajaran agama dipinggirkan di sekolah,kanak-kanak tidak akan mempelajari sahsiah kehidupan itu dengan sempurna.
Remaja Merdeka. Itulah kata-kata yang sering kita dengar dari mulut remaja –remaja itu sendiri. Apakah yang dimaksudkan dengan “Remaja Merdeka” ? Menurut  kamus Dewan Bahasa ‘ merdeka’ bermaksud bebas, lepas, berdiri sendiri dan tidak bergantung dengan orang lain.. Jadi boleh dikatakan secara ringkasnya remaja merdeka ialah remaja yang bebas tetapi bukan bebas yang terbabas, lepas , dan berdiri sendiri iaitu tidak terlalu bergantung pada orang.
Remaja Merdeka adalah remaja yang ‘bebas’ dan ‘lepas’. ‘Bebas’ dan ‘lepas’ di sini bermaksud bahawa remaja itu bebas fikiran mereka dari jajahan unsur-unsur negatif di mana mereka dapat membezakan antara buruk dan baik sesuatu perkara. Remaja Islam khususnya akan kenal Allah dan Rasul serta mengamalkan cara hidup yang sihat  Mereka tidak mudah terpengaruh dengan budaya atau idea korup seperti budaya barat yang 
lebih banyak mendatangkan keburukan dari kebaikan, pelanggaran akidah Islam seperti mencintai muzik berat hingga membawa kepada sikap tidak bertuhan seperti kumpulan Black Metal, berpeleseran , dan berbuat maksiat hingga menyebabkan kes remaja mengandung semakin meningkat. Implikasinya berlaku pengguguran haram dan buang bayi.




Remaja merdeka juga ialah mereka yang bebas dari sikap atau sifat-sifat buruk seperti panas baran, dendam dan ingin menunjukkan kuasa yang akhir sering membawa kepada pergaduhan yang dahsyat, kes buli yang sering kita dengar hingga membawa kepada kematian contohnya kes yang berlaku kepada pelajar di sekolah berasrama dan ketika dalam kem PLKN.


Remaja merdeka juga boleh dirujuk sebagai remaja yang berdiri atas kakinya sendiri iaitu remaja itu tidak seratus bergantung pada ibu bapa atau orang lain. Biasanya remaja begini akan bersemangat dalam apa juga yang dilakukan, dia akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai apa yang diimpikannya tanpa banyak kerenah. Biasanya remaja yang suka berdikari ini mempunyai pakej lengkap iaitu mempunyai personaliti yang menarik iaitu biasanya dalam dirinya lebih banyak sifat positif yang tertanam atau hidup subur dalam dirinya seperti sifat suka membantu orang lain, berusaha bersungguh-sungguh, menyayangi diri sendiri, ibu bapa, dan masyarakat, tidak mementingkan diri sendiri, bersikap prihatin dan peka dengan persekitaran, serta bersih dari perlakuan buruk.


Terdapat banyak faktor yang menjadi punca remaja kita sering dikaitkan gejala sosial buruk. Antaranya ialah kurang kasih sayang,tiada pendidikan agama, pengaruh persekitaran, pengaruh rakan sebaya, kekurangan ilmu bagi menyesuaikan diri dengan kehidupan di bandar dan mempunyai sikap ingin mencuba sesuatu yang tidak baik.
Dewasa ini, media massa memainkan peranan yang sangat penting dalam mempengaruhi masyarakat khususnya golongan remaja. Melalui teknologi yang semakin canggih ini, golongan remaja mudah terdedah kepada banyak maklumat termasuk bahan yang tidak sesuai yang boleh mendatangkan bahaya jika digunakan tanpa panduan daripada golongan dewasa.
Golongan pelajar lazimnya mudah meniru dan mengikut hal yang dilihat di sekeliling mereka. Paparan adegan-adegan negatif dari filem barat yang banyak memaparkan adegan ganas menimbulkan perasaan ingin tahu dan ingin cuba sendiri mengikut apa yang mereka tonton dari video cakera padat dan sesetengah program televisyen.  Selain daripada video cakera padat (VCD), bahan-bahan pornografi juga mudah didapati melalui internet yang sukar dibuat tapisan oleh pihak yang berwajib. Oleh itu, ibu bapa seharusnya membimbing dan memberi tunjuk ajar supaya remaja ini mendapat panduan yang betul.


Rancangan televisyen pastinya mengghairahkan remaja kerana memaparkan adegan-adegan yang menjolok mata dan kadang-kadang unsur-unsur seks yang melampau serta cara hidup yang serba pincang. contohnya filem-filem Barat yang di tayang di televisyen, lebih-lebih lagi bagi siaran yang berbayar.  Rancangan televisyen sebegini seolah-olah memberikan satu fahaman bahawa orang ramai boleh mengadakan seks rambang selagi tidak ada pencabulan hak dan kebebasan di antara dua pihak. Budaya seperti inilah yang mendedahkan remaja kepada penyakit-penyakit kelamin yang berbahaya.


Anak-anak muda kini diajak menjadi golongan yang berfikiran terbuka. Malangnya, minda mereka dicemar oleh konsepsi kehidupan yang membawa kepada kecelaruan. Zaman ini perempuan Melayu Islam yang memakai mini skirt, seluar pendek atau memadankan tubuh dengan bikini dan bertanding dalam peraduan ratu cantik di khayalak ramai tidak dianggap sebagai pesalah. Golongan wanita muda yang berpakaian menjolok mata tidak dapat menerima pendapat bahawa merekalah yang memainkan peranan dalam melonjaknya jumlah kes rogol dan pencabulan kehormatan.



        Perasaan ingin berpasangan semakin memuncak  ketika berada di alam remaja juga menyumbang kepada keruntuhan akhlak remaja itu sendri. Sekiranya perasaan ini tidak dikawal atau dibendung sudah tentu ia akan membawa kepada masalah sosial. Isu terkini benarkah remaja kini banyak terlibat dalam aktiviti seks bebas? Mereka bercinta dan melakukan hubungan seks serentak demi cinta sejati.


Remaja lelaki dan perempuan masa kini menghadapi masalah sosial seperti pergaulan bebas, anak luar nikah, zina dan sebagainya. Bercinta tidak pernah dianggap salah malahan orang yang tidak percaya akan cinta kepada insan lain dan pencipta-Nya merupakan golongan manusia yang rugi. Islam sendiri menggalakkan umatnya saling kenal mengenali antara satu sama lain tanpa mengira jantina, bangsa dan agama.  Mungkin ada cara untuk menangani masalah percintaan. Remaja diingatkan supaya berkawan atau bercinta dengan cara yang telah digariskan oleh Islam yang diantaranya adalah mengelakkan pergaulan tanpa batas, berdua-duaan di tempat sunyi dan sebagainya.


Penggunaan untuk mengisi waktu lapang bagi remaja sering diabaikan. Kerap kita berjumpa dengan remaja-remaja yang masih memakai pakaian seragam sekolah berkeliaran di pusat membeli belah atau ‘melepak’ di tepi jalan. Kegiatan semacam ini dirasakan kurang bermanfaat dan dapat menimbulkan berbagai masalah sosial, seperti mengganggu ketenteraman.  Pelajar yang sibuk dan menyukai kesibukan, biasanya memiliki masa lapang yang terbatas. Mereka kurang berminat pada kegiatan-kegiatan yang tidak berfaedah. Pengisian masa lapang yang kurang terarah, akan mendesak remaja melakukan aktiviti atau kegiatan yang kurang terarah seperti perbuatan negatif.  Oleh itu perlu diingat aktiviti apa saja yang dipilih oleh seseorang, khususnya remaja, sebagai pengisi masa lapang tidak harus dipandang remeh oleh ahli keluarga.

       Kerajaan telah melakukan bermacam-macam cara untuk menarik minat dan perhatian remaja dari melakukan aktiviti yang tidak berfaedah, seperti kempen Budi Bahasa budaya kita, Tak Nak kepada Rokok, Belia Benci Dadah dan banyak lagi, namun usaha dan susulan sedemikian yang giat dilaksanakan dengan bantuan badan-badan tertentu tidak begitu berjaya menarik minat remaja secara menyeluruh. JAKIM sebagai salah sebuah agensi kerajaan juga turut serta dalam hal ini seperti mengadakan program menjadikan masjid sebagai tempat persinggahan penagih dadah, bengkel menangani gejala sosial remaja, dakwah untuk remaja, menerbitkan bahan-bahan bacaan berunsur Islam untuk remaja serta banyak lagi.
Tanggungjawab membanteras masalah sosial sebegini bukan sahaja tanggungjawab kerajaan dan pihak sekolah sahaja malah tanggungjawab ini harus dipikul oleh semua pihak, terutama ibu bapa sendiri. Adalah tidak munasabah sekiranya pihak ibu bapa sekadar menuding jari kepada pihak lain sekiranya anaknya bertindak liar.
Menurut Islam, kanak-kanak mula dapat membezakan perkara yang baik dan buruk setelah mencapai mumaiyiz iaitu berumur tujuh tahun. Pada ketika inilah ibu bapa atau penjaganya patut melatih anak mengerjakan ibadat yang wajib. Apabila anak mencapai umur baligh, mereka wajib melaksanakan semua suruhan agama dan menjauhkan segala larangannya.  Islam mempunyai suatu sistem yang cukup lengkap, datangnya dari pencipta manusia sendiri iaitu Allah SWT yang sendirinya tahu tentang baik atau buruk bagi manusia itu. Amalkan ajaran Islam sepenuhnya sebagai cara hidup


Sebagai kesimpulannya , Sama ada disedari atau tidak kebanyakan masalah yang melanda remaja masa kini adalah disebabkan oleh tekanan serta permasalahan yang wujud di dalam persekitaran. Terdapat banyak faktor yang perlu ditimbangkan sebelum kita boleh menuding jari siapa penyumbang utama isu ini. Bak kata pepatah “mencegah adalah lebih baik daripada mengubati ”. Maka, adalah wajar bagi semua pihak untuk sentiasa menangani dan prihatin dengan permasalahan sosial remaja. Sebagai penjaga kepada anak-anak, ibu bapa haruslah lebih peka dan sentiasa mengambil berat tentang masalah yang dihadapi oleh anaknya. Ibu bapa haruslah bersikap terbuka dan membincangkan isu ini dengan anak-anak mereka Marilah kita dengan penuh sedar dan keinsafan bergabung fikiran, tenaga, kepakaran dan pengalaman, bertindak mencari jalan penyelesaian walaupun usaha yang dilaksanakan nanti belum pasti dapat menghapuskan permasalahan ini tetapi sekurang-kurangnya kita berusaha untuk membendung daripada terus merebak memusnahkan anak bangsa rakyat yang tercinta. Begitu juga dengan remaja, mereka seharusnya sentiasa peka dan terus berusaha untuk menjadi remaja yang merdeka. “Remaja hari ini adalah pemimpin hari esok”.


Wassalam……..

Saturday, September 5, 2009

HADITH HARI INI

Muslim dan Abu ‘Uwanah
Membaca surah al-Fatihah merupakan salah satu daripada 13 rukun solat. Surah tersebut mestilah dibaca dengan makhraj yang betul. Barulah hati akan mengikuti dan memahami makna setiap kalimah yang terucap. Misalnya apabila dibaca ayat keempat dari Surah al-Fatihah yang bermaksud: "Tuhan yang memiliki hari Akhirat." Maka tergambar segala kekalutan, kesibukan dan huru-hara manusia yang bersesak di padang Masyhar. Terasalah akan kekerdilan dan kelemahan diri di sisi Allah SWT. Apabila membaca ayat kelima dari surah al-Fatihah yang bermaksud : "Engkaulah yang ku sembah dan Engkaulah tempat ku bermohon." Bererti kita telah memberikan kesetiaan dan pengabdian hanya kepada Allah, bukan menjadi penyembah hawa nafsu atau selainnya. Ringkasnya membaca surah al-Fatihah dalam solat adalah wajib. Ia tidak boleh dipandang ringan kerana dengan bacaan tersebut menjadikan diri kita insaf sekali gus menjamin kita daripada lalai di dalam solat. 

Jangan kedekut @ tamak ! 
Abu Hurairah r.a berkata : “Seorang lelaki datang kepada Nabi SAW maka bertanyalah ia : “Ya Rasulullah, sedekah manakah yang paling besar pahalanya? Nabi menjawab: “Sedekah yang engkau berikan sedangkan engkau dalam keadaan sihat dan sangat sayang kepada harta, engkau takut kepapaan dan engkau harapkan kekayaan. Dan janganlah engkau menangguhkan pemberian sedekah sehingga apabila roh engkau telah hampir ke kerongkong berkatalah engkau : “Untuk si anu begini, untuk si anu begini. Sesungguhnya si polan itu telah memilikinya.”

(al-Bukhari dan Muslim)
Islam menganjurkan kita agar bersedekah dalam keadaan sihat. Kerana sesungguhnya bersedekah dalam keadaan sihat itu lebih besar pahalanya daripada bersedekah dalam keadaan sakit dan menampakkan lagi keikhlasan kita dalam melakukan kebajikan di jalan Allah SWT.


 

Friday, September 4, 2009

Aktiviti-aktiviti sekolah

Kursus Haji dan Umrah (30 Julai 2009)


 

Usrah dan Tahlil (19 Ogos 2009)

 

Majlis Tadarus dan Khatam Al-Quran (15 Sept 2009)




Praktikal Solat dan Takbir Raya (17 Sept 2009)



Thursday, September 3, 2009

Warga Sekolah


Rahimah Binti Tukiman (Guru Besar)


Zarina Binti Yahya (GPK1)


Mohd Farid @ Selamat Bin Talibin (GPK Hem)


Sabariah Binti Abd Manap (GPK Koko)


Suzana Binti Mohd Noh
 
Rosidah Binti Sulong


Zaimawati  Binti Dollah


Yusnita Binti Bahrin


Rohana Binti Mohammad
 
Rodziah Hanim Binti Abd Azib
 
Rini Sharida Binti Hazran
 
Norhasidah Binti Ahmad



Nurul Asiqin Binti Azman

Tuesday, September 1, 2009

Profil blogger



Namaku Suzana binti Mohd Noh. Aku dilahirkan di sebuah perkampungan nelayan iaitu di Sedili Besar, Kota Tinggi, Johor. Aku dilahirkan pada 14 September 1977. Lebih 10 tahun aku meneroka bidang perguruan. Kini aku mengajar di Sekolah Agama Sri Mahkota yang merupakan sekolah yang ketiga sepanjang aku bergelar guru. Walaupun aku sudah bekerja namun aku masih menuntut di Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Temenggung Ibrahim.